Khamis, 19 Disember 2013

SPRM tahan 326 orang awam tawar rasuah dan suapan tahun ini

MELAKA - Sebanyak 326 orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan kes penawaran dan pemberian suapan antara Januari hingga November tahun ini.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu 61 tangkapan melibatkan warga asing dengan nilai suapan yang direkodkan serendah RM5 hingga RM700,000.
Beliau berkata, 155 penjawat awam turut ditahan kerana menerima rasuah dalam tempoh sama tahun ini, 63 individu telah didakwa di mahkamah dan 53 disabitkan bersalah atas tuduhan memberi atau menawarkan rasuah.
"Jika sebelum ini penguat kuasa undang-undang menjadi perhatian SPRM kerana meminta rasuah namun situasi berubah apabila kini lebih ramai orang awam yang ditahan berbanding penguat kuasa undang-undang dan penjawat awam.
"Kecenderungan warga asing cuba merasuah penjawat awam di negara ini agak membimbangkan kerana tindakan itu dilihat seolah-olah kredibiliti penguat kuasa undang-undang negara ini boleh dibeli tetapi sebenarnya tidak,” katanya pada sidang media selepas perasmian Kompleks SPRM Melaka di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Bagaimanapun Mustafar berkata, statistik tangkapan melibatkan orang awam menunjukkan penurunan sepanjang tiga tahun lepas iaitu 651 orang pada 2010, 595 orang (2011) dan 413 orang (2012).
Beliau berkata, perkembangan positif itu ekoran kerjasama erat antara SPRM dan agensi penguat kuasa undang-undang seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan dalam usaha mengekang amalan pemberian rasuah dalam kalangan orang awam. - Bernama

Rabu, 18 Disember 2013

Jangan Salah Guna Surat Sokongan Pertimbangan Untuk Lulus Projek


KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said Selasa mengingatkan ketua-ketua jabatan di negeri ini supaya tidak menganggap surat sokongannya agar sesuatu projek itu dipertimbangkan, sebagai bermaksud arahan kelulusan.

Katanya beliau sudah mengingatkan semua pegawai dan ketua jabatan supaya menyiasat dan menimbang setiap permohonan projek bergantung kepada kesesuaian harga.

Ada pihak yang tidak memahami kaedah sebenar pada hal beliau hanya menurunkan tandatangan sokongan meminta supaya permohonan (sesuatu projek) itu dipertimbangkan terlebih dahulu, katanya kepada pemberita selepas Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di sini Selasa.

Ahmad mendedahkan ada juga beberapa ketua jabatan di Terengganu yang meluluskan projek berdasarkan surat yang beliau tandatangan untuk sesuatu projek itu dipertimbangkan.


Beliau tidak pernah mengarah atau memaksa mana-mana ketua jabatan untuk meluluskan projek kepada individu tertentu, tegasnya.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang memantau perkara itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali.

Selasa, 17 Disember 2013

MAT SABU DIPECAT DARI PARTI PAS ??

Abdul Hadi: Pas boleh bertindak

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Jawatankuasa Disiplin Pas boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti yang menganut aliran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peranan jawatankuasa itu tidak hanya terhad kepada pengendalian kes disiplin dan salah laku dalam pentadbiran parti.

Beliau menegaskan, Fasal 7(1) Perlembagaan Pas menetapkan bahawa hukum tertinggi di dalam parti adalah al-Quran, hadis, ijma’ ulama dan qiyas yang nyata.

“Inilah sumber hukum para Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli Pas wajib menganut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam Pas," katanya dalam kenyataan menerusi laman web rasmi Pas di http://www. pas.org.my hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mengemukakan 10 maklumat yang didakwa mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dengan ajaran Syiah. 

Isnin, 16 Disember 2013

KERAJAAN BN PERLU IKUT APA YANG DIPERKATAKAN


"Kerajaan perlu mengajar rakyat memancing ikan supaya mereka boleh makan ikan setiap hari, bukannya memberi mereka makan ikan sahaja,"


Kerajaan Negeri Selangor tidak wajar meneruskan dasar-dasar populis setelah masuk penggal kedua pemerintahan mereka di negeri itu, kata Naib Pengerusi DAP negeri Datuk Teng Chang Khim.
Beliau berkata kerajaan negeri yang bertanggungjawab perlu mempunyai pandangan jauh tentang kebajikan rakyat dan bukan hanya memperkenal dasar populis seperti pemberian air percuma.
"Kerajaan (negeri) perlu mengajar rakyat memancing ikan supaya mereka boleh makan ikan setiap hari, bukannya memberi mereka makan ikan sahaja," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen DAP Selangor ke-17 hari ini.
Teng, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, menarik perhatian bahawa setelah lima tahun memerintah, hanya antara 4%dan 10% daripada belanjawan untuk semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor digunakan untuk tujuan pembangunan.
Sementara itu, anggota Parlimen (MP) Petaling Jaya Utara Tony Pua dipilih sebagai pengerusi DAP Selangor yang baru di konvensyen parti itu, sementara MP Puchong Gobind Singh Deo terpilih sebagai timbalan pengerusi.
Speaker Dewan Negeri Hannah Yeoh menyertai Teng sebagai naib pengerusi. Sejumlah 699 dari 1,221 perwakilan parti menghadiri konvenseyn itu. Sejumlah 687 perwakilan mengundi memilih jawatankuasa DAP Selangor.
Tiga puluh lima calon bertanding untuk 15 tempat dalam jawatankuasa parti di konvensyen dwi-tahunan itu.
Sesi perbahasan tertumpu kepada mengkritik Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. – Bernama, 15 Disember, 2013.

Ahad, 15 Disember 2013

KAKI PUTAR ALAM MAKAN DIRI SENDIRI !!!

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu diminta tampil mengemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat dengan fahaman Syiah.
Pegawai Agama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ustaz Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu juga perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN semalam yang mengaitkannya dengan fahaman syiah.
"Kalau kata bukti-bukti ini tidak cukup kuat, (Mohamad) sila jawab secara ilmiah untuk menafikan 10 bukti berkenaan. Tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama di sini, malam Jumaat.
Zamihan berkata KDN sentiasa bersedia untuk bermuzakarah dengan Mat Sabu bagi mencari kebenaran berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Khamis, 12 Disember 2013

TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL KE ATAS MAT SABU

Isu fahaman Syiah bukan bersifat sementara


PETALING JAYA - Isu melibatkan fahaman Syiah di negara ini bukan bersifat sementara sebaliknya usaha memerangi fahaman itu dilakukan secara konsisten, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, Syiah perlu dibanteras kerana Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan bahawa fahaman itu adalah haram diamalkan umat Islam di negara ini.

"Semua fahaman Syiah adalah haram dan bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Fatwa ini adalah untuk semua orang tidak kira parti politik, individu, kelompok, kumpulan dan mana-mana golongan.

Selasa, 10 Disember 2013

HARAM DAH PUN DIHARAMKAN, KENAPA PERLU BINCANG ????


KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dakwaan seorang pemimpin PAS terbabit dengan ajaran Syiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu perlu diteliti sebelum sebarang tindakan diambil.

"Majlis Fatwa Kebangsaaan sudah mengharamkan Syiah, di sudut hukum. Di sudut pendakwaan pula kita memerlukan kepada pembuktian, jadi kami akan bincang bersama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2013 di ibu negara, Selasa.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Anan C. Mohd; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Zainal Abidin Jaafar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lepas mendakwa pemimpin nombor dua PAS terlibat dengan ajaran Syiah dan akan mendedahkan bukti mengenai perkara itu.

Jamil Khir berkata tindakan tetap akan dikenakan ke atas pihak yang terlibat tanpa mengira siapa mereka termasuk ahli politik.

"Siapa yang terlibat dengan Syiah, asalkan dia orang Islam di Malaysia, akan diambil tindakan dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata perlembagaan UMNO akan dipinda secepat mungkin untuk memasukkan Islam sebagai agama persekutuan yang bertunjangkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Dengan ini, kita akan lebih memperkukuhkan perjuangan UMNO itu sendiri," katanya.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO akan dipinda bagi mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan mentakrifkan Islam sebagai apa yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Pada majlis itu seramai 1,500 orang terdiri amil zakat, pegawai agama dan wakil agensi berkaitan menghadiri sambutan sehari itu bertujuan berkongsi pengalaman dalam aspek pengurusan kutipan dan agihan zakat di negara ini.--BERNAMA.

Khamis, 5 Disember 2013

KEBERANIAN KJ PATUT DIPUJI ATAU HANYA SANDIWARA ???


Yang relevannya ialah kesediaan (jikapun tidak keberanian) KJ untuk membawa aspirasi rakyat dengan meminta kenaikan tarif eletrik dikaji semula.

Ucapan KJ ini banyak mendapat reaksi. Mereka yang skeptikal menyatakan ini adalah lakonan dan sandiwara sahaja. Skripnya sudah siap diatur. KJ menentang kenaikan tarif elektrik bagi menunjukkan kerajaan BN prihatin kerana selepas perhimpunan ini, kenaikan tarif elektrik dibatalkan.

Kata mereka lagi, keputusan menaikkan tarif elektrik ini diumumkan oleh menteri bukannya oleh Pengerusi TNB, maka sudah tentulah kenaikan tarif ini dibincangkan dalam kabinet.

Sebagai ahli Kabinet, mengapa KJ tidak membantahnya dalam Kabinet? Dan yang lebih sinis lagi menyatakan KJ ini selalu sahaja melawan arus dan bertelagah dengan sesiapa sahaja— dengan MB Terengganu dan juga dengan FAM. Ah, pada mereka KJ sekadar mencari populariti.


Inilah pandangan yang negatif tentang ucapan KJ.

Rabu, 4 Disember 2013

MAHFUZ OMAR KELUAR PARTI JIKA TIDAK DILANTIK ???

Pas

SHAH ALAM - Mengekalkan dua tokoh "kitar semula" Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar adalah untuk "menjaga hati".

Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kedua-dua calon itu dikekalkan kerana untuk memberi penghargaan kepada mereka yang berjuang dan setia dalam parti.

Menurutnya juga, walaupun kriteria pengalaman diambil kira namun sumbangan mereka di dalam parti juga perlu dihargai melalui terjemahan pelantikan tersebut.

"Pelantikan dua pemimpin Pas 'recycle' itu bertujuan memberi penghargaan kepada mereka.

"Kalau nak kaitkan dengan tranformasi, dalam Pas ia tidak timbul tetapi lebih kepada ada unsur 'jaga hati'.

"Ini kerana mereka ini banyak berjasa dan mempunyai pengalaman yang banyak dalam politik," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Terbaru, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat semalam telah memutuskan pelantikan Ketua Penerangan Pas, Mahfuz dan mengekalkan Mustafa sebagai Setiausaha Agung.

Dalam pada itu, Azmi juga berpendapat Mustafa dan Mahfuz penting untuk memberi keseimbangan dalam hubungan politik Pas dalam PR.

Katanya, pengekalan kedua pemimpin tersebut juga mampu menangkis dakwaan bahawa Pas mempunyai kumpulan tertentu yang sentiasa bertentangan seperti antara golongan ulama dan profesional.

"Saya lihat Pas mengekalkan pemimpin 'recycle' ini kerana untuk mengukuhkan Pas, sama ada dalam Pas sendiri ataupun dengan rakan PR yang lain.

"Dua pemimpin ini boleh menjadi 'check and balance' kepada Pas termasuk dalam hubungan politik dengan PKR dan DAP," katanya.


Isnin, 2 Disember 2013

Pekida dedah ahlinya terlibat ajaran Syiah


KUANTAN – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Malaysia akan mempertimbang untuk mendedahkan mana-mana ahlinya yang dipercayai terlibat dengan ajaran Syiah ataupun ajaran lain bertentangan dengan fahaman ahlil sunnah wal jamaah.

Perkara itu dilaksanakan sempena program pemutihan berterusan pertubuhan tersebut bertujuan membersihkan nama Pekida daripada dilabel sebagai negatif masyarakat sekeliling.

Presidennya, Jamaludin Yusof berkata, sehingga kini, Pekida belum mengenal pasti ahli yang terlibat, namun percaya kesemua ahli masih berada di landasan ajaran ‘Amar Maakruf Nahi Mungkar’ sepertimana cogan kata pertubuhan ini.

“Jika ada yang terlibat dengan fahaman lain, mereka akan disiasat dalam Majlis Timbang Tara seterusnya jawatankuasa akan memutuskan kedudukan ahli tersebut sama ada masih kekal ataupun disingkirkan.

“Melalui program pemutihan ini, saya berharap ahli yang ada ini terus mengekalkan prestasi positif mereka agar tiada pihak yang berasa sangsi dengan pertubuhan ini,” katanya kepada media sempena Perhimpunan Agung Pekida Malaysia Kali Ke-19 di sini semalam.

Jamaluddin berkata, melalui perhimpunan yang diadakan itu, satu perubahan drastik harus  dilaksanakan oleh ahli agar peranan Pekida ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, antara perkara positif yang perlu diberi perhatian adalah jihad ekonomi dan penubuhan koperasi Pekida.

“Sebelum ini, kami hanya melaksanakan tanggungjawab pada peringkat bawahan di mana hanya golongan masyarakat tertentu mengetahui peranan Pekida.


“Oleh itu, pada masa akan datang, kami mahu lebih menyerlah dalam usaha mengembalikan martabat Pekida untuk dihormati dan bukan digeruni,” katanya.

 Sehingga kini seramai 235,000 ahli Pekida didaftarkan di seluruh negara. Seramai 330 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung dan Pemilihan Pekida yang berlangsung semalam.

Sumber:sinarharian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...